Semuanya bermula ketika seorang guru sekolah rendah, Cik Grayston digigit oleh labah-labah yang kelihatan luar biasa, dan pada saat itulah dunia mulai berubah… Tidak lama kemudian, susu dihantar ke stesen-stesen petrol dan tanpa disedari, ramai pelanggan menuang susu skim dan susu rendah lemak ke dalam tangki petrol mereka. Televisyen pula tidak dapat disiarkan. Permainan bola sepak berakhir dengan jaringan sebelas gol ke dalam gawang sendiri. Jalan dan kaki lima lengang tanpa sesiapa. Dan apa pula yang sedang berlaku kepada Cik Grayston yang amat teratur dan terancang itu ya? Beliau tiba lewat ke sekolah selepas menerima empat saman trafik, melanggar set televisyen di dalam bilik darjah dan mengoles pen marker merah ke bibirnya, bukannya gincu. Sementara itu, orang ramai yang kebiasaannya kelam kabut di sana sini, tiba-tiba menjadi teratur dan cekap.

 

Apakah yang sedang berlaku? Ben bersertakan rakan-rakannya, Leela, murid baru yang cantik molek itu dan sahabat baiknya Martin, dengan sedikit bantuan daripada ayah Ben, Pakcik Tony, mereka bersedia untuk menyiasat dan berusaha demi menyelamatkan dunia, walaupun terdapat kekalutan dalam sepanjang pengembaraan mereka.




 

 

Penulis Klutzymatosis, Paul F. Laszlo, warganegara British-Kanada, dilahirkan dan dibesarkan di Liverpool – yang terletak di utara barat England. Terdapat juga kawasan yang dinamakan  Liverpool di tempat lain, seperti Liverpool Timur di Ohio, Amerika Syarikat; Pasar Liverpool di Pickering, Ontario, Kanada; dan juga Jalan Liverpool  di pusat bandar Sydney, Australia. Bagaimanapun, beliau bukan dibesarkan di Liverpool- Liverpool tersebut.

 

Semasa kecil dahulu, beliau dibesarkan di sebuah rumah di mana beliau sering sahaja tiba lewat ke sekolah dan kebiasaannya, tepung dan gula sering jatuh menimpanya ketika beliau membuka pintu almari dapur… Oleh itu apabila dewasa, beliau memutuskan untuk cuba dan mengatur segala-galanya dengan cekap di sekelilingnya. Jadi, penulis merasakan ianya penting untuk mewujudkan sebuah kisah mengenai orang yang klutzy dan juga  kisah orang yang teratur.

 

Ilustrasi ceria milik pelukis Annisa Yuwanda menghidupkan cereka Klutzymatosis.